Comments- APA Project: "JANGAN"

from http://tontonfilem.blog-city.com/


4 Aug 2006

Dua filem, Satu Teater- Kesemuanya Permata Malaysia


Teater 'Jangan' Boleh!


'Jangan' adalah sebuah teater arahan Hamdan Yasin yang diambil ideanya daripada Sudiro Sukiman, ditayangkan percuma untuk dua hari di Taman Budaya dengan khalayak penonton yang memberangsangkan. Satu tepukan dan "horaaay" pada KekWa dan aktivis-aktivis teater kerana aku tersedar, kali ini, sudah adanya kehidupan teater Malaysia, nadinya sudah mula terasa dengan pelbagai premis untuk menyiarkan teater, syabas!
Syabas juga buat Artis Penjuru Alam, produksi yang menerbit teater ini. Bukan apa. Seluruh pelakon dalam kumpulan teater ini, semuanya muda-muda, muka-muka baru dalam lapangan dunia teater. Semuanya bersemangat, bersungguh-sungguh dan tahu apa itu lakonan. Kalah Nasha Aziz dalam Lantai T. Pinkie. Mikhael Hafiz, Noor Azwani, Muhammad Asraf, Idham, Aina Basiran, Danial Arif, Abdul Manan, Nur Masliana, Nor Huzaimi, A'sikin, Ahmad Tarmizi dan terutamanya Sharifah Harlina Azreen telah melakukan sesuatu yang memberangsangkan walaupun mungkin ini teater pertama mereka. Aku paling suka Sharifah Harlina. Dia yang tampak sebagai pelakon utama, teraju yang mengikat keseluruhan cebisan-cebisan sketsa dalam teater ini telah memaparkan satu profesionalisme dan stamina yang sangat baik untuk seorang pelakon yang mungkin sangat baru.
'Jangan' sendiri adalah sebuah teater kecil yang penuh semangat dan menghiburkan. Hamdan Yasin adalah seorang genius. Dia sedar apa itu teater rakyat dan bangsawan, apa yang membuatkan teater-teater ini digemari zaman ke zaman hingga kini. Sedikit tradisi (apabila membaca Biografi Aminah Nani) bangsawan tetap terserap dalam teater wayang dan filem Melayu hingga kini, dan boleh dilihat tersalur tradisi itu dalam Salam Pantai Timur ataupun senario (Aminah Nani memangggilnya Bangsawan Jenaka) dan kemudian Akademi Fantasia. Itu adalah milik rakyat dan menyelusuri pemikiran rakyatnya, ia terletak, menjadi suara majoriti rakyatnya (yang boleh dirangkulkan sebagai simple folks people). Nasihat menasihat, sindir menyindir, dengar celoteh, dengar cerita tentang orang- itu kelaziman dalam psyche orang Melayu (dan Malaysia). Hamdan gunakan landasan ini lalu mengikatnya dengan satu premis tentang kekolotan atau ketidaksiuman orang Malaysia dalam kehidupan mereka- lalu 'Jangan' tercipta.
Dalam pemberian segala yang rakyat dan "pop" ini, secara halus Hamdan juga "menyindir" (seperti yang dilakukan oleh Mamat Khalid dalam Man Laksa) penonton mutakhirnya yang menyukai Hindustan, artis pop, AF dan "Mak kata jangan". Dan semua ini dibuat secara tidak terang-terangan, maka ia tampak "biasa" dalam penerimaan psyche Melayu, yang sebenarnya mengejek perlakuan biasa ornag Malaysia yang menyukai dan menerima lakonan budaya itu.
'Jangan' mungkin seakan Scenario. Tetapi itulah yang menarik. Ia tampak komedi dan mewanca sketsa-sketsa yang dirangkul seakan sitkom, tetapi bila sketsa-sketsa itu dicedok isinya, isunya lebih serius dan penting dari seribu sitkom Scenario. Dan paling baik, Hamdan tidak memaksa penontonnya untuk 'mencedok' isi-isi dalam teater ini dan ia boleh saja ditonton sebagai satu teater komedi/farce atau kerja pos-modenis terhibur yang baik. Mungkin akhir teater ini agak kelam-kabut dan dibuat dengan memberi banyak pertanyaan. Tetapi itulah yang mahu Hamdan sampaikan, persoalan untuk kita memahami, status quo dan definisi moral yang kita sudah 'tanamkan' dalam hal-hal seharian kita, dan bagaimana manusia, walau bagaimana disuruh-paksa, kotak-katik, tetap akan ada saluran yang membuak manusiawi individualnya yang membuatnya manusia. Dan itu sudah cukup baik untuk mengungkapkan makna "Jangan" yang pelbagai maksud pada setiap orang.

Comments

Popular posts from this blog

Err...

dilemma